Tuesday, February 3, 2009

Bahasa Melayu bukan halangan pelajari Sains, Matematik (ISU PPSMI FEB 08)

"Memang telah menjadi pendapat umum, bahkan kepercayaan umum, bahawa sekolah adalah satu alat yang berpengaruh dan berkesan sekali dalam usaha perkembangan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi yang sebenar-benarnya bagi Persekutuan Tanah Melayu.

"Harus pendapat dan kepercayaan itu diasaskan atas kenyataan yang nyata bahawa sekolah berupa suatu tempat membentuk semangat, faham, sikap dan ketaatan bakal rakyat, juga harus diasaskan atas kemungkinan sekolah menjadi satu kancah membentuk kanak-kanak berbagai bangsa menjadi satu rupa bangsa dan dengan didikan semangat dan ketaatan serta dengan tegasan pengajaran yang betul-betul, maka bahasa Melayu sesungguhnya boleh menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi yang sebenar-benar bagi Persekutuan Tanah Melayu." - Aminuddin Baki, Perkembangan Bahasa Melayu dalam Sekolah Rendah dan Menengah, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-III �

Bahasa Melayu jelas tertera dalam Perlembagaan sebagai suatu hak Melayu yang perlu dipelihara sebagai bahasa kebangsaan. Umno telah gagal menjulang bahasa ini ke tempat sebenar, khasnya dalam isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. �

Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7, Pengerusi Yayasan Karyawan, Dato' Dr Hassan Ahmad berkata masalah salah tanggapan, pengetahuan dan sikap selama ini telah mempengaruhi elit Melayu dalam kerajaan untuk bersikap tidak serius dan tegas dalam melaksanakan dasar bahasa yang ada. �

"Akhirnya, pada 2003, pemimpin Melayu sendiri buat keputusan mengubah dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah dan di IPTA, berbalik kepada bahasa Inggeris seperti pada zaman sebelum kemerdekaan. � "Ini dilakukan tanpa sebab munasabah kecuali jahil. Ia keputusan tak rasional yang dibuat berdasarkan kepercayaan karut bahawa bahasa Melayu tidak boleh memajukan bangsa Melayu atau negara," katanya menerusi kertas kerja 'Masalah Bahasa atau masalah Pengguna Bahasa? Membetulkan Sikap dan Persepsi Manusia Terhadap Bahasa Melayu'. �

Dr Hassan menyelar pendirian golongan� yang menyifatkan bangsa Melayu tidak akan maju jikalau mereka tidak menguasai bahasa Inggeris. �

"Nampaknya cuma orang Melayu saja yang sanggup berkata demikian! Bangsa lain tidak berkata begitu. Dan kerana itulah mereka menjadi maju. �

"Saya menganggap ini adalah dasar yang mengembalikan kuasa bahasa Inggeris di negeri ini sebagai bahasa penjajahan," kata beliau. �

Bagi Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia, Prof Emeritus Abdullah Hassan, hal membina kepustakaan Melayu dalam bahasa ibunda adalah cabang usaha yang amat penting dilakukan. �

"Tidak pernah ada bangsa yang membina tamadunnya tanpa kepustakaan. Tidak pernah juga ada bangsa yang membina tamadunnya atas kepustakaan dalam bahasa orang lain. Setiap bangsa, walaupun kecil, telah membina tamadunnya atas kepustakaan dalam bahasanya sendiri. �

"Negara kecil yang maju seperti Belanda, Finland, Sweden, Norway, Denmark, Belgium, Luxemburg, Switzerland dan Austria mempunyai kepustakaan masing-masing dalam bahasa sendiri," kata beliau dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-6 ketika membentangkan kertas kerja berjudul Bahasa dan Pembinaan Tamadun Bangsa. �

Dalam hal kepustakaan ini, kata Prof Abdullah, masyarakat akan dapat melihat bagaimana seorang ahli Matematik dan falsafah Jerman membangunkan bahasa Jerman demi membina tamadun bangsanya. �

Tentunya, hal ini mirip kepada teori maju bahasa maju bangsa yang bercanggah dengan teori M di mana 'pengasasnya', Dr Mahathir melihat usaha memajukan bahasa bermula setelah bangsa itu dimajukan. Nampaknya, teori yang digunakan pakar bahasa lebih kuat dibandingkan politikus. �

Turut menyokong pandangan ini ialah Prof Dr Shaharir Mohamad Zain yang membentangkan hal yang sama dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-5 sebelum ini. �

Beliau merujuk kisah ahli falsafah Perancis-Jerman, Williuam Leibnitz pada awal kurun ke-18, di mana dia berhujah tentang betapa perlunya Jerman membina sainsnya dalam bahasa Jerman. Ketika itu, bahasa ilmu di Eropah ialah bahasa Latin dan Perancis. �

"Seorang lagi ahli falsafah Jerman yang turut menyatakan hal yang sama pada zaman Weimar (1920-an) adalah Spengeler. Beliau membicarakan pengaruh budaya ke atas sains dan melihat Jerman boleh mengatasi sains negara lain dengan membina dasar-dasar sains yang cukup berorientasikan kebudayaan Jerman. Hal ini disebutkan sebagai penjermanan sains," katanya. �

Kembali kepada isu kepustakaan, Prof Abdullah berkata, masyarakat mesti belajar daripada pemimpin dan sarjana Islam mengenai bagaimana mereka telah berjaya membina kepustakaan dalam bahasa Arab untuk membangunkan tamadun Islam. �

"Melalui peristiwa ini kita dapat mencontohi sesuatu. Iaitu, menyampaikan ilmu dan membina kepustakaan ilmu dalam bahasa sendiri perlu dilakukan serentak," kata beliau.

Realiti kini, nampaknya penyampaian ilmu yang berjalan, tetapi bukanlah hal pembinaan kepustakaan itu. �

Prof Shaharir berkata, peranan bahasa nasional dalam pembangunan telah banyak kali diperkatakan di seluruh dunia sekurang-kurangnya sejak kurun ke-18 lagi. �

"Pembangunan sains Jepun sejak di bawah pemerintahan Maharaja Meiji kurun ke-19 juga perlu disebutkan sebagai contoh yang perlu diambil pengajarannya. Contoh-contoh ini adalah contoh pembangunan sains nasional yang terbukti berjaya. � "Satu lagi contoh pembangunan sains nasional yang tersendiri adalah projek peMarxisan Sains Pertanian di bawah kelolaan ahli genetik Rusia yang bernama Lysenko pada 1950-an," katanya. �

Asas tonggak pemikiran Prof Shaharir adalah Sains bukanlah suatu yang neutral. �

"Kini sudah diterima umum, walaupun ramai ahli sains dan cendekiawan kita di Nusantara� yang tidak menyedari hakikat ini, bahawa Sains memang tidak neutral. �

"Maka sebab itu sejak tahun 70-an timbul gesaan kepada pempribumian Sains, pengetnosainsan, penginsanan Sains dan pengislaman Sains. Beberapa jurnal khas telah pun diterbitkan bagi memuatkan makalah-makalah yang sesuai dengan tabii Sains ini," jelas Prof Shaharir. �

Berdasarkan pandangan tokoh bahasa Melayu termasuk pendapat pakar Matematik yang tertera dalam kongres tersebut, setidak-tidaknya kita dapat gambaran, bahawa antara sebab kenapa hal ini masih diteruskan adalah kerana elit Melayu sendiri tidak mahir dalam hal ehwal pendidikan. - lanh _

No comments:

Post a Comment