Tuesday, January 27, 2009

ISU PPSMI 19 Januari 2009


MEMBUKA tahun baru pada 2009 begitu mencabar sekali bagi rakyat Malaysia, terutama kerana terpaksa berdepan dengan dua kegawatan besar serentak � politik dan ekonomi.

Kegawatan politik bukan semata-mata kerana pilihan raya kecil di Kuala Terengganu. Rakyat sebetulnya masih keliru nasib masa depan mereka menjelang peralihan kepemimpinan negara pada Mac ini kerana bakal Perdana Menteri telahpun dipalitkan dengan pelbagai skandal, sehingga ada desas-desus supaya Perdana Menteri sekarang tidak melepaskan jawatan.

Terbaru, apabila bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid A Rahman mengakui suruhjaya itu tidak bebas dan terdapat campur tangan kerajaan dalam pengendalian pilihan raya, maka benarlah apa yang dituntut oleh Bersih dahulu.

Di sebalik itu, rakyat sebenarnya amat terdesak dengan unjuran bahawa ekonomi akan lebih parah pada 2009 walaupun dahulunya, Menteri Kewangan seolah-olah menggambarkan Malaysia tidak menerima implikasi yang teruk. Lihatlah apa yang sudah dialami Singapura, jiran terdekat kita. Hari ini harga getah dan minyak sawit sudah menjunam. Harga barangan pengguna tidak turun-turun walaupun harga petrol sudah diturunkan.

Kini krisis ekonomi dunia sudah mula meresap dan amat dirasai oleh masyarakat negara ini terutama menjelang awal tahun baru. Beban terbesar terpaksa dihadapi oleh ibu bapa ialah persekolahan anak-anak yang memakan belanja besar.

Bagi masyarakat luar bandar dan juga warga bandar yang berpendapatan rendah, musim persekolahan seperti ini amat dirasakan kerana mereka terpaksa membeli pakaian sekolah, buku latihan, yuran tuisyen, tambang bas yang mungkin meningkat sehingga 30 peratus ekoran kenaikan surcaj dan macam-macam lagi.

Tahun dulu rakyat berasa lega apabila kerajaan mengumumkan yuran persekolahan percuma sepenuhnya, tetapi rupa-rupanya ia satu penipuan apabila yang dikecualikan hanyalah yuran antara RM4.50 hingga RM9 dan juga yuran perperiksaan awam. Adapun yuran-yuran lain yang mencecah ratusan ringgit terus meningkat. Buku teks yang diberikan percuma juga tidak begitu bermakna dalam konteks ini kerana sebahagian besar sekolah cenderung menggunakan buku latihan yang terpaksa dibeli berbanding buku teks.

Saya nampak isu ini akan berbangkit semula jika kerajaan tidak mengambil tindakan cepat. Tetapi nampaknya persepsi orang ramai terhadap Menteri Pelajaran menunjukkan beliau mempunyai agenda politik apabila mengumumkan supaya sekolah menangguhkan semua bayaran yuran sehingga Mac 2009. Mungkin ia diperlukan sebagai senjata menghadapi pemilihan Umno pada Mac ini kerana menteri tersebut bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Khabarnya, untuk mengelakkan rakyat 'terperasan' akan strategi ini, menteri itu mengarahkan supaya ia dilanjutkan sehingga Jun 2009. Sekurang-kurangnya ia tidak dikaitkan dengan pemilihan Umno dan selepas itu yuran-yuran tersebut perlu dibayar seperti biasa.

Saya mengucapkan tahniah kepada rakan saya Dato� Seri Hishamudin Hussein kerana begitu licik mengambil kesempatan ini semata-mata untuk kepentingan pemilihan Naib Presiden Umno mac ini. Penangguhan yuran ini bukan untuk kepentingan rakyat. Kerana selepas Jun ini, seperti biasa rakyat harus membayarnya semula. Ia bukan penghapusan yuran, tetapi penangguhan sementara kerana menteri mahu menutup mulut perwakilan sahaja. Tertipu lagi rakyat nampaknya dengan permainan �yuran percuma� untuk musim persekolahan ini.

Apa pun bagi saya, kerajaan harus melihat lebih jauh kerana rakyat sudah tersepit dalam kegawatan ekonomi. Kerajaan patut menanggung sepenuhnya semua yuran ini dan tidak perlu lagi yuran-yuran tersebut dibayar atau ditangguhkan bayarannya.

Memartabatkan bahasa Melayu

Menteri Pelajaran tidak boleh menarik nafas lega jika isu yuran ini sudah tidak berbunyi lagi kerana cerdik pandai Melayu sudah mula membuat kecoh tentang nasib bahasa Melayu. Pelbagai pihak sama ada ahli politik, profesional, pakar bahasa, tokoh pendidikan dan sebagainya sudah meluahkan rasa tidak senang dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Walaupun keputusan perperiksaan UPSR dan PMR baru-baru ini yang dikatakan memihak kepada PPSMI, tetapi banyak pihak yang mempertikai.

Dipersoalkan orang apakah dengan meningkatnya jumlah pelajar menjawab soalan UPSR dalam bahawa Inggeris maka ia membawa maksud penguasaan bahasa penjajah itu meningkat. Sedangkan kita tidak tahu berapa sebenarnya di kalangan yang menjawab dengan bahasa Inggeris mendapat A... meningkatkan mereka atau semuanya bungkam! Jumlah tidak mewakili kualiti, melainkan kerajaan menyatakan data yang sebenar.

Berapa ramai yang menjawab dalam bahasa Inggeris untuk UPSR dan PMR boleh bertutur dalam bahasa Inggeris kerana inilah tujuan asal diperkenalkan PPSMI, kerana kononnya ramai lepasan IPTA lemah dalam pertuturan bahasa Inggeris. Tidak mustahil jika ramai pelajar memilih menjawab dalam bahasa Inggeris kerana ia strategi sekolah yang tidak mustahil mengharapkan 'markah bonus' dengan menjawab dalam bahasa isu.

Dalam keputusan PMR juga, sudah ada para pelajar yang mencampur-adukkan bahasa Melayu dan Inggeris dalam jawapan mereka. Semakin kecamuk dan cacamerba nampaknya generasi baru kita dengan dasar ini.

Saya tidak anti bahasa Inggeris, tetapi kita harus berbangga dengan bahasa sendiri. Dahulu, kerana semangat bahasa Kebangsaan inilah orang Melayu bangkit menongkah penjajah yang akhirnya Dato� Onn Jaafar dapat memobilisasikan orang Melayu menentang Malayan Union. Saya mengharap cucunya, Menteri Pelajaran perlu mengambil peduli isu memartabatkan bahasa Melayu.

Apakah erti Perkara 152 yang menjamin kedudukan bahasa Melayu jika sistem pendidikan kita sendiri mengabaikannya. Apa pula erti kita mempunyai Akta Pelajaran, Akta Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, sedangkan bahasa Melayu sudah terpinggir.

Saya melihat sendiri kerajaan Republik Chezh menghargai bahasanya dengan memberikan yuran pengajian percuma kepada mana-mana pelajar asing yang mengikuti pengajian perubatan dalam bahasa mereka. Ia bukan kebajikan untuk pelajar asing, tetapi ia adalah inisiatif bagi mengangkat darjat bahasa mereka sebagai bahasa ilmu. Bahasa kita bagaimana?

Kepada Hishamudin, sekali lagi saya nyatakan bahawa saya dan rakyat tak kisah jika beliau ingin mengagendakan isu PPSMI dengan membuat pengumuman menjelang pemilihan Mac nanti dengan menghapuskan PPSMI asalkan bahasa Melayu kembali berfungsi dalam dasar pelajaran negara. Sudah tiba masanya untuk kerajaan BN akur dan sedar bahawa dasar bahasa mereka selama ini merosakan status bahasa Kebangsaan ini. Mereka mesti kembali ke pangkal jalan.

Pemimpin Umno tidak perlu malu untuk mengakui kesilapan, sebaliknya harus berbesar jiwa bagi membetulkan semula kekusutan ini. Semua pihak yang pakar sudah memperkatakan. PAS sudah membawa isu ini ke mahkamah kerana mahukan Dasar Bahasa Kebangsaan dihormati.

Mungkin badan-badan bahasa dan sastera akan bertindak juga dalam masa terdekat ini. Seruan saya hanya satu, mansuhkan sahaja PPSMI!- tajdid _

No comments:

Post a Comment