Thursday, January 29, 2009

PERJUANGANKU SEKIAN LAMA

barisanrakyat2.jpg

Perubahan itu perubahan yang besar.

Daripada debat tentang konsep-konsep Islam dan Negara Islam, PAS melakukan suatu pendekatan yang amat drastik dengan beralih kepada menjelaskan bagaimana Islam dan kenegaraan yang diperjuangkan oleh PAS, boleh memperbaiki masyarakat.

Lantas tawaran PAS lebih sejagat kepada masyarakat Malaysia yang berkepelbagaian latar belakang dan kefahaman.

Daripada pendekatan mengheret pengundi kepada menekuni PROSES, kini PAS lebih mempromosikan OUTPUT dan menyerahkan urusan PROSES kepada jentera kerajaan (jika menang) untuk mengendali dan merealisasikannya.

Ia suatu perubahan yang besar, dan saya melonjakkan syukur kerana bertambah satu lagi contoh bagaimana pemikiran dinamik yang mengalu-alukan idea segar, tepat dan jelas… menjadi kunci kepada survival parti, ummah dan tamadun manusia keseluruhannya. Challenge and response… itu kata kuncinya.

MEMBUKA HARAPAN

Saya masih ingat kepada perbualan saya dan rakan bersama beberapa teman dari Centre for Public Policy Studies and akhbar kewangan The Edge, bahawa “harapan masih ada untuk PAS” kerana nyata sekali bahawa PAS bukanlah sebuah Parti ala-Taliban seperti yang sering dimomokkan oleh akhbar seperti The Star dan yang seumpama dengannya.

Kesediaan PAS untuk meneroka bahasa sejagat dalam memperjuangkan prinsip-prinsip Islam, membuka lebih banyak ruang kepada memberi kefahaman kepada masyarakat, mendidik mereka dan seterusnya menjemput kerjasama yang lebih luas ke arah cita-cita menegakkan Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafoo.

PENGHAYATAN ATAS BAWAH

Namun sejauh manakah perubahan ini dihayati oleh pendukung PAS dari atas ke bawah?

PAS telah pun mengadakan taklimat berkenaan dengan manifesto Pilihanraya ke-12, di Taman Melewar pada 6 Februari 2007 untuk jentera pilihanraya. Penjelasan mengenai perjuangan ke arah sebuah “Negara Beramanah, Bersih, Adil dan Berkebajikan”, disampaikan dengan terpeinci, malah mendahului parti-parti komponen Barisan Alternatif yang lain.

Akan tetapi, sebaik sahaja taklimat ini berjalan, pergerakan promosi manifesto ini ada kalanya kelihatan tidak selaras dengan hasrat dan cita-cita yang telah disuarakan.

Di alam siber, artikel-artikel LAMA, tentang jenayah pemimpin Barisan Nasional memperlekehkan hukum hudud pada tahun 1990an telah disebarkan semula. Hal-hal yang bersangkutan dengan kebobrokan pihak yang alergik dengan perundangan Islam, kembali beredar dari satu inbox ke satu inbox yang lain… dan soalnya ialah, sejajarkan hal ini dengan pendekatan dan manifesto PAS untuk pilihanraya ke-12 akan datang?

Masuk ke hari penamaan calon, masih kedengaran laungan-laungan yang tidak mencerminkan perubahan yang telah berlaku kepada PAS.

“Hancur kuffar!”

“Hancur sekularisma!”

Slogan-slogan seumpama itu dikeluarkan kembali dari gerobok simpanan dan dimuntahkan tanpa memikirkan sejauh mana kesan slogan sedemikian rupa kepada hasrat PAS untuk menjana suatu perubahan?

Malah ada di antara calon, masih menggunakan bahasa Pilihanraya 1999 dan 2004 dalam taklimatnya selepas penamaan calon, bercakap tentang kepentingan hukum hudud dan subjek-subjek yang tidak selaras dengan manifesto PAS 2008.

MANIFESTO SEJAGAT, SLOGAN SEJAGAT

Jika perubahan yang berlaku itu adalah perubahan yang benar-benar mahu dilihat kejayaannya, maka PAS harus bergerak selari di antara hasrat kepimpinan dan jentera penggerak. Bahasa-bahasa baru yang lebih menepati cita-cita PAS di tahun 2008 mesti dipopularkan agar laungan yang dijana, mencetuskan momentum yang betul, dan bukannya menggatalkan kepala rakan-rakan di Barisan Alternatif serta para pengundi yang tekun memerhati.

“Hancur kezaliman”

“Hancur penipuan”

“Hancur korupsi”

“Hancur perhambaan”

“Hancur …. (fill in the blanks)”

Banyak lagi slogan yang boleh terbit dari manifesto PAS 2008, asalkan homework dibuat dan bukan hanya membuka gerobok untuk Siaran Ulangan.

Pepatah Arab menyebut:

maqammaqal.jpg
“Bercakap biar bertempat”

Kebijaksanaan pendukung PAS memilih perkataan yang betul akan menjadi bukti terbaik kepada masyarakat bahawa perubahan yang berlaku itu adalah perubahan yang berisi. Bukan sekadar menukar baju mengikut musim.

SYARAT BERJUANG

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah menyukai golongan yang berjuang di jalan-Nya dalam keadaan berbaris rapi, seakan-akan mereka itu sebuah bangunan yang terbina kukuh” (Al-Saff : 4)

Allah menyintai orang yang berjuang.

Tetapi bukan semua pejuang dicintai Allah.

Cinta Allah hanya untuk pejuang dan perjuangan yang tersusun, sistematik dan rapi. Sunnatullah kembali menjadi persoalan.

“Seeru ‘ala barakatillah”

taknak_bn.jpg

Abu Saif @ www.saifulislam.com

No comments:

Post a Comment